| Adakah kita mahu ditendang kali kedua? |
| Ditulis oleh Dewan Pemuda PAS Kelantan | |
| Tuesday, 22 July 2008 | |
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyokong penuh pendirian Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Bin Haji Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS mengenai isu muzakarah PAS-UMNO. DPPNK menganggap bahawa isu muzzakarah ini hanyalah agenda politik UMNO untuk turut mengheret PAS menanggani masalah dalaman UMNO yang secara nyata telah ditolak oleh rakyat di dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu.Kenapa baru sekarang pemimpin UMNO sibuk dengan isu muzakarah, sedangkan muzakarah ini telah dicadangkan oleh PAS sejak sekian lama tapi tidak pernah disambut oleh UMNO. PAS pernah menghantar surat rasmi kepada UMNO untuk mengadakan muzakarah tapi tidak disambut oleh UMNO. Kenapa semasa UMNO kuat suatu ketika dahulu pemimpin mereka tidak menyambut cadangan muzakarah oleh PAS dan kenapa sekarang apabila keadaan UMNO semakin "nazak", mereka baru sibuk menghulur tangan untuk bermuzakarah dgn PAS. Bagi kami DPPNK, ianya tidak lain dan tidak bukan adalah satu lagi tindakan licik politik UMNO di saat sedang ‘nazak’ sekarang ini untuk turut mengheret PAS agar sama-sama merasai masalah dalaman UMNO yang semakin tenat. DPPNK mengharapkan agar para pimpinan PAS sentiasa bersabar dan mengambil kira pandangan akar umbi parti samada perlu berunding dengan UMNO atau tidak perlu. Pimpinan juga kena sentiasa ingat sejarah mengenai kelicikan politik UMNO ini yang suatu masa dahulu pernah melamar PAS agar bergabung dengan UMNO untuk menyelesai masalah perbalahan kaum ketika peristiwa 13 Mei 1969. Setelah PAS menyertai BN dan kemudiannya UMNO kembali kuat lalu mereka "tendang" PAS keluar daripada BN. Cukup hebat dan licik. Adakah kita (PAS) mahu terkena tendangan kedua UMNO? Mohamad Zaki bin Ibrahim Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan 22 Julai 2008 Kaherah, Mesir |