Dewan Pemuda PAS Kelantan

MEMORANDUM ISU PEMBAYARAN ROYALTI

E-mail Print PDF

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh;

Yang Amat Berhormat Dato' Seri;

Dengan hormatnya ini adalah MEMORANDUM DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KELANTAN kepada YAB Dato' Seri Perdana Menteri Malaysia berkait dengan isu pembayaran Royalti Minyak Negeri Kelantan.

Bahawa Isu pengeluaran petroleum sebagai hasil bumi negeri Kelantan adalah satu isu yang amat serius dan harus diselesaikan secara melampaui batasan kepentingan politik yang sempit.

Bahawa semasa perbahasan Akta Pembangunan Petroleum 1974 oleh Tun Abdul Rahman Ya'kub, Ketua Menteri Sarawak seperti hansard Dewan Rakyat bertarikh 24 November 1974 muka surat 2371 yang menyatakan;

Saya juga sukacita melihat dalam Fasal 2, bahawa hak untuk mengeluarkan pemberian hak-hak seperti terkandung dalam Jadual terserah kepada Kerajaan yang mempunyai kuasa kepada kawasan yang berkenaan. Bagi pihak kerajaan Negeri Sarawak saya ingin menyatakan bahawa kita berpendapat adalah menjadi hak Negeri Sarawak mempunyai kuasa di bawah Seksyen 2 tadi mengeluarkan pemberian hak-hak, kuasa-kuasa, kebebasan-kebebasan dan keistimewaan-keistimewaan berkenaan dengan petroleum seperti terdapat dalam Jadual Undang-undang ini meliputi bukan sahaja kawasan daratan tetapi juga kawasan yang disebut offshore termasuk continental shelf. Saya sungguh gembira ada tersebut dalam Rang Undang-undang ini iaitu sebagai pengakuan kepada hak ini pihak PETRONAS akan memberi bayaran wang tunai kepada Kerajaan yang berkenaan. Dengan cara begini maka Kerajaan Negeri berkenaan akan dapat sedikit wang, walaupun tak banyak yang boleh digunakan dalam pentadbiran negeri dan juga dalam pembangunan”.

Bahawa hasrat Almarhum bekas Perdana Menteri ayahanda Yang Amat Berhormat Dato' Seri, YAB Tun Abdul Razak di Parlimen semasa perbahasan Akta yang sama pada waktu itu sebagaimana jawapannya di parlimen dahulu perlu difahami YAB Dato' Seri;

Tuan yang Di Pertua, semua negeri di Malaysia melainkan Sabah dan Selangor telah menandatangani perjanjian dengan PETRONAS sebagaimana yang dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974. Saya diberitahu Kerajaan Negeri Selangor telah pun bersetuju menandatangani perjanjian ini. Mengikut perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan peraiaran atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual oleh PETRONAS ataupun ejensi-ejensi ataupun kontrektor-kontrektornya.”

Bahawa secara kesimpulannya adalah sebagaimana berikut:-

  1. Tidak ada had 3 batu nautika seperti yang beberapa pemimpin sebutkan sekarang.
  2. Offshore sesuatu negeri tidak tertakluk kepada 3 batu nautika bahkan meliputi continental shelf.
  3. Bayaran tunai tersebut dibayar kepada Kerajaan Negeri dan tidak dirampas di tengah jalan atas apa juga alasan.
  4. Akta ini mengakui hak ke atas petroleum adalah hak negeri yang akan diserahkan kepada Petronas dengan timbal balas bayaran tunai.

Maka adalah kami DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KELANTAN setelah dipermusyawarahkan di Majlis Mesyuarat Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan di Kota Bharu pada 9hb. November 2009 dengan ini telah mengambil resolusi untuk membuat tuntutan sebagaimana perkara-perkara yang berikut:-

  1.  
    1.  
      1. Bahawa YAB Dato' Seri menarik balik pengumuman bahawa Kerajaan Pusat akan membayar Wang Ihsan kepada Negeri Kelantan.
      2. Bahawa YAB Dato' Seri membuat pengumuman baru bahawa Kerajaan Pusat akan membayar Wang Royalti kepada Negeri Kelantan sebagaimana hak yang telah termaktub.
      3.  Bahawa YAB Dato' Seri membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Kelantan di atas penafian hak rakyat Kelantan terhadap wang royalti tersebut selama ini.

 

Memorandum ini bertarikh 12hb November 2009

 

YB Haji Abdul Latif bin Haji Abdul Rahman

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

 

Last Updated ( Tuesday, 24 November 2009 17:07 )  

DPP Kelantan

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

Tingkat 1, Bangunan PAS,
Jalan Dato Pati,
1500 Kota Bharu,
Kelantan

dppkelantan@pas.org.my