Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) ingin melahirkan kekesalan yang teramat pada sikap media massa arus perdana yang sejak kebelakangan ini semakin hebat menyerang kepimpinan PAS khususnya di negeri Kelantan termasuk melaporkan berita-berita yang berunsurkan khabar angin dan spekulasi.
Kejadian yang terbaru ialah berita muka hadapan Mingguan Malaysia 22 November 2009 yang memuatkan berita di bawah tajuk "Husam Letak Jawatan?" yang dilihat sebagai langkah terkini media massa utama untuk memberi tekanan kepada kepimpinan kerajaan negeri Kelantan.
DPPNK ingin menyatakan rasa kesal yang teramat terhadap langkah akhbar berkenaan yang memuatkan berita berunsur provokasi dan murahan dengan hanya memetik dari sumber yang didakwa sebagai ‘dalaman’. Sedangkan pada hakikatnya, isu berkenaan tidak pernah disebut dan dilaporkan di dalam mana-mana mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan.
Langkah media massa berkenaan telah melanggar etika kewartawanan yang sepatutnya hanya melaporkan berita yang benar-benar mempunyai integriti dan sahih semata-mata. Dalam masa yang sama, ia telah memalukan dunia kewartawanan dan melacurkan kepercayaan masyarakat.
DPPNK menyifatkan akhbar berkenaan sebagai melampau dan keterlaluan di dalam mencari publisiti murahan dan melariskan jualan akhbar. Perlu diingatkan bahawa ini bukan kali pertama kepimpinan negeri Kelantan diserang dengan laporan sedemikian. Sebelum ini YAB Menteri Besar Kelantan sendiri pernah difitnah melalui isu ‘Tidak Masuk Syurga’ dan ‘Islam Plastik’ yang terbukti kemudiannya sebagai salah lapor dari pihak akhbar.
Oleh yang demikian, DPPNK menyeru supaya boikot besar-besaran terhadap akhbar berkenaan dibuat sebagai hukuman daripada rakyat dan pengajaran bahawa rakyat Kelantan khususnya dan Malaysia amnya adalah bangsa yang bertamaddun dan cerdik untuk membezakan antara fakta dan khabar angin.
DPPNK juga menyambut baik keputusan yang telah dibuat oleh Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat semalam berhubung dengan kontroversi yang telah melanda kerajaan negeri kebelakangan ini. DPPNK berharap dengan keputusan tersebut, segala kontroversi dapat dipadamkan dan jentera kerajaan negeri dapat ditumpukan untuk menjaga kebajikan rakyat negeri Kelantan terutamanya di musim tengkujuh yang sedang melanda ini.
Allahu Akbar!
Islam Memimpin Perubahan
Mempersada Perjuangan
Ahmad Baihaki Atiqullah
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
24 November 2009





