Dewan Pemuda PAS Kelantan

DPPNK Pelawa Awang Selamat Bersemuka, Kesal Dengan Kenyataan Zulkifli Nordin

E-mail Print PDF
  1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) ingin memberikan respon terhadap tulisan Awang Selamat di dalam kolum khasnya di akhbar Mingguan Malaysia pada 19 Disember 2010 yang lepas. Awang Selamat di dalam tulisannya mengecam habis-habisan parti-parti pembangkang dan menyifatkan PAS menjadi pak turut kepada DAP dan PKR. Di dalam tulisannya itu, beliau juga turut menyebut nama al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat sebagai pemimpin yang menjadi Pak Turut kepada PKR dan DAP.
  2. DPPNK menyifatkan tulisan Awang Selamat tersebut sebagai tulisan yang penuh kebencian melampau terhadap Pakatan Rakyat dan sangat tidak beretika di samping mengenepikan terus budaya kewartawanan profesional yang sepatutnya dijunjung oleh seorang wartawan senior seperti Awang Selamat. Menyifatkan al-Mursyidul Am dengan tuduhan sedemikian rupa seolah-olah membuktikan bahawa Awang Selamat hanya ingin dirinya ditonjolkan sebagai wartawan yang terus sedia mengampu UMNO 'dulu, kini dan selamanya."
  3. DPPNK ingin mengingatkan Awang Selamat, al-Mursyidul Am PAS telah menjadi Menteri Besar Kelantan selama 20 tahun yang bersih tanpa rasuah dan penyelewengan berbeza dengan rata-rata pimpinan UMNO yang terlibat dengan pelbagai skandal dan tuduhan. Lupakah Awang Selamat bahawa ada bukan seorang bekas Menteri Besar daripada kalangan UMNO yang pernah dihadapkan ke mahkamah kerana rasuah? Bahkan Majlis Tertinggi UMNO sendiri pernah menghukum beberapa pimpinan UMNO kerana terlibat dengan politik wang dan sehingga hari ini masih bebas menjadi pimpinan.
  4. Kepimpinan al-Mursyidul Am PAS jauh lebih bersih dari pimpinan UMNO. Kekuatannya ialah kerana Islam yang menjadi pegangan. Justeru, menuduh beliau sebagai pak turut ialah satu tuduhan yang melampau. DPPNK mencabar Awang Selamat agar membuktikan di manakah prinsip Islam yang digadaikan PAS sewaktu bersama Pakatan Rakyat? DPPNK juga sangat berbesar hati untuk mempelawa Awang Selamat agar bersemuka di mana-mana pentas di atas tajuk ini. Jangan hanya pandai berselindung di sebalik nama samaran lantas melontarkan tuduhan-tuduhan keji dan tidak bertanggungjawab.
  5. Di samping itu, DPPNK juga ingin melahirkan rasa kesal terhadap tuduhan yang bernada serupa yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Nordin melalui tulisannya di dalam akhbar yang sama. Demikian juga kenyataan beliau yang mempertikaikan ucapan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh yang memberikan respon positif terhadap Islam dengan mengisytiharkan secara terbuka menerima prinsip Islam sebagai agama rasmi negara. Zulkfili Nordin yang menyifatkan kenyataan itu sebagai sandiwara perlu diingatkan bahawa mengikut rekod, tidak pernah DAP mengkhianati bangsa Melayu Islam sebagaimana yang dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional. Siapakah yang melantik Ketua Menteri Pulau Pinang daripada kaum Cina sedangkan kaum Melayu yang menjadi majoriti di dalam Dewan kalau bukan UMNO? Siapakah yang menafikan peruntukan perkapita untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) kalau bukan UMNO? Siapakah yang saban hari meindas dan menafikan peruntukan pembangunan untuk Kelantan yang majoritinya ialah orang Melayu kalau bukan UMNO?
  6. DPPNK mencabar Zulkifli Nordin untuk mendedahkan secara terperinci apa yang didakwa sebagai Perjanjian Syaitan di antara PKR dan DAP. Sekiranya beliau tidak dapat membuat pendedahan terhadap apa yang didakwanya wujud, terbuktilah bahawa beliau telah mengizinkan tangannya menjadi tangan syaitan kerana menulis perkara yang terang-terang membohongi rakyat.
  7. Jika Zulkifli Nordin menuduh DAP akan menipu rakyat, DPPNK ingin mengingatkan beliau dan pihak-pihak yang senada dengannya seperti Perkasa dan lain-lain bahawa pihak yang menipu rakyat ialah mereka yang memenangi pilihanraya di atas tiket parti lain lalu menukar haluan selepas pilihanraya. Ini terang-terang menipu pengundi dan rakyat. Dalam hal ini, pertubuhan seperti Perkasa juga seharusnya malu sekiranya individu seperti ini yang memimpin mereka. Sewajarnya setiap kenyataan orang bukan Islam yang dilihat positif terhadap Islam perlu disambut dengan respon yang baik. Apa yang menghairankan, selama orang-orang seperti Zulkifli Nordin dan Perkasa lah yang merupakan pihak yang kuat mendakwa DAP sebagai anti Islam, lalu apabila kenyataan sebegini dikeluarkan, mereka dakwa pula sebagai sandiwara. Lalu, adakah yang ikhlas hanyalah UMNO? Hebat sangatkah mereka sehingga mampu meneropong terus ke lubuk hati untuk memeriksa keikhlasan? Atau mereka mahu mendakwa sudah diberikan kelebihan ilmu kasyaf sebagaimana seorang ulama UMNO di Kelantan? Paling tidak, buktikan dengan rekod, bilakah DAP menikam umat Islam sebagaimana yang mereka tuduh.
  8. Perlu diingatkan, pada zaman Rasulullah SAW, jika dibandingkan dengan kaum musyrikin yang memusuhi Islam, kaum munafik yang menjadi duri dalam daging jauh lebih merbahaya.  Dalam hal ini, kopiah di kepala bukan membuktikan iman di hati jika lidah menuturkan kata-kata munafik. Apatah lagi jika  dibandingkan dengan orang-orang musyrik yang tidak memusuhi Islam, ternyata Rasulullah SAW menjalinkan persefahaman dengan mereka berbanding dengan orang-orang munafik yang sentiasa diminta untuk berwaspada.

 

Sekian.

fadhlishaari

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

Ketua Penerangan,

Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Bertarikh : 15 Muharram 1432 H / 21 Disember 2010 M

 

 

DPP Kelantan

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

Tingkat 1, Bangunan PAS,
Jalan Dato Pati,
1500 Kota Bharu,
Kelantan

dppkelantan@pas.org.my