Dewan Pemuda PAS Kelantan

Isu Salam Bukan Mahram : DPPNK Minta Mufti dan Ulama Muda UMNO Nyatakan Pendirian

E-mail Print PDF
Dewan Pemuda Pas Kelantan (DPPNK) ingin memberikan ulasan berkaitan dengan kenyataan beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional yang mempertikaikan pendirian Normala Sudirman, calon PAS dalam pilihanraya kecil Dun Tenang, Johor yang enggan bersalaman dengan lelaki yang bukan mahram. Kenyataan-kenyataan tersebut adalah seperti berikut :

a. Kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek seperti yang dipetik oleh laman web berita Malaysiakini, "Dia tidak akan datang ke sini (tokong Cina), (dan) dia langsung tidak bersalam dengan orang. Dia seperti isteri Anwar Ibrahim. Dia memakai sarung tangan ketika bersalam. Jika anda boleh menerima cara Islam sebegini, pergilah undi PAS."

b. Kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan yang juga pemimpin Gerakan, Datuk Seri Tan Lian Hoe seperti yang dipetik oleh Malaysiakini, ""Ini perkara paling asas... Bukan hanya lelaki, tetapi bila dia (Normala) bersalam dengan wanita, dia juga pakai sarung tangan. Ini tidak mesra. Adakah dia fikir tangan kita kotor, saya harap pengundi Cina berhati-hati. Kita amat bimbang berhubung isu negara Islam. Mereka mahu mengamalkan negara Islam yang ekstrim."

DPPNK melihat kenyaataan kedua-dua parti komponen Barisan Nasional ini sebagai kenyataan yang tidak menghormati pegangan agama yang diamalkan oleh calon PAS. Perlu diingatkan, pendirian beliau untuk tidak bersalam dengan lelaki yang bukan mahram itu berdasarkan keyakinan agamanya dan bukan pendirian yang dibuat-buat. Justeru, DPPNK menganggap kenyataan kedua-dua pemimpin tersebut sebagai menandakan kejahilan mereka terhadap asas-asas Islam itu sendiri.

DPPNK menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tanda kegagalan UMNO yang tidak berjaya memberikan kefahaman Islam walaupun sudah bersama cukup lama dalam komponen Barisan Nasional. Inilah bezanya persefahaman UMNO dengan parti-parti dalam Barisan Nasional dibandingkan dengan persefahaman PAS dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Dalam hal ini, DPPNK mahu supaya para mufti dan juga ulama muda yang berada di dalam UMNO supaya menyatakan sikap dan pendirian terhadap kenyataan kedua-dua pemimpin ini. DPPNK kesal dengan sikap membisu ahli-ahli agama yang berada di dalam UMNO yang begitu cepat sebelum ini bersuara apabila berlakunya isu-isu yang melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat.

Dalam masa yang sama, DPPNK menyeru kepada umat Islam khususnya di Tenang, Johor agar dapat membuat penilaian yang jujur di dalam memilih pimpinan demi kepentingan agama Islam itu sendiri. Kegagalan UMNO memahamkan asas-asas Islam kepada parti-parti dalam komponen Barisan Nasional membuktikan mereka tidak layak untuk dinobatkan sebagai pembela agama Islam.

Sekian.

Yang benar,

YB Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK).
Bertarikh : 24 Januari 2011

 

DPP Kelantan

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

Tingkat 1, Bangunan PAS,
Jalan Dato Pati,
1500 Kota Bharu,
Kelantan

dppkelantan@pas.org.my