Dewan Pemuda PAS Kelantan

Hudud : UMNO Yang Perlu Segara Nyatakan Sikap

E-mail Print PDF

1. Saya tertarik untuk mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berhubung isu hudud seperti yang tersiar di dalam Sinar Harian hari ini 24 Ogos 2012. Di dalam kenyataan tersebut, Fatmi antara lain menyatakan bahawa Pas yang sepatutnya mengeluarkan kenyataan mengenai pendirian mereka berhubung hukum hudud, bukan DAP.    

2. Saya sedikit hairan dengan kenyataan Fatmi yang seolah-olah baru tidak mengetahui pendirian PAS sejak sekian lama yang telah memperjuangkan Islam secara syumul termasuk hukum hudud yang menjadi sebahagian daripada kewajipan yang telah termaktub di dalam Islam. Saya sebaliknya menyokong kenyataan YAB Tuan Guru Datuk Menteri Besar Kelantan yang mendesak pimpinan UMNO menyatakan sikap ekoran kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek bahawa ADUN UMNO Johor yang mencadangkan hudud sebagai 'hilang akal'. Pada saya, cabaran YAB Tuan Guru inilah yang perlu dipenuhi oleh UMNO khususnya di Kelantan.  

3. Sekalipun kenyataan yang dikeluarkan oleh Chua Soi Lek itu telah berlalu hampir dua bulan, namun sehingga hari ini, UMNO melalui barisan kepimpinannya masih gagal menjelaskan sikap terhadap penghinaan tersebut bahkan mendiamkan diri sambil menuding jari ke arah PAS yang didakwa menjadi kuda tunggangan kepada DAP.  

4. Jika kenyataan Chua ini masih belum cukup untuk membuktikan UMNO sebagai parti yang dayus, bagaimana pula dengan kenyataan Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim yang bertegas akan menghalang negara Islam daripada ditegakkan walau dengan apa cara sekalipun? Kenyataan ini dikeluarkan beliau dalam ucapan pembukaannya di konvensyen MCA Selangor pada 18 Ogos yang lepas.  

5. Kenapa Fatmi di dalam kenyataannya hanya menukilkan pendirian DAP yang menentang hudud dan di dalam masa yang sama tidak menyatakan pendirian UMNO? Saya ingin mempersoalkan di mana para ulama UMNO yang sibuk menghentam PAS kerana didakwa bersekongkol dengan kafir harbi? Jika demikian, apa pula hukum untuk UMNO yang turut sama menentang hudud dan negara Islam?  

Sekian.  

 

Salam hormat,

 

ABDUL LATIFF ABD RAHMAN

Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.  

 

Bertarikh : 24 Ogos 2012

 

DPP Kelantan

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

Tingkat 1, Bangunan PAS,
Jalan Dato Pati,
1500 Kota Bharu,
Kelantan

dppkelantan@pas.org.my