Dewan Pemuda PAS Kelantan

Kenyataan Media

Kenyataan Media DPP Kelantan

Hudud : UMNO Yang Perlu Segara Nyatakan Sikap

E-mail Print PDF

1. Saya tertarik untuk mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berhubung isu hudud seperti yang tersiar di dalam Sinar Harian hari ini 24 Ogos 2012. Di dalam kenyataan tersebut, Fatmi antara lain menyatakan bahawa Pas yang sepatutnya mengeluarkan kenyataan mengenai pendirian mereka berhubung hukum hudud, bukan DAP.    

2. Saya sedikit hairan dengan kenyataan Fatmi yang seolah-olah baru tidak mengetahui pendirian PAS sejak sekian lama yang telah memperjuangkan Islam secara syumul termasuk hukum hudud yang menjadi sebahagian daripada kewajipan yang telah termaktub di dalam Islam. Saya sebaliknya menyokong kenyataan YAB Tuan Guru Datuk Menteri Besar Kelantan yang mendesak pimpinan UMNO menyatakan sikap ekoran kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek bahawa ADUN UMNO Johor yang mencadangkan hudud sebagai 'hilang akal'. Pada saya, cabaran YAB Tuan Guru inilah yang perlu dipenuhi oleh UMNO khususnya di Kelantan.  

3. Sekalipun kenyataan yang dikeluarkan oleh Chua Soi Lek itu telah berlalu hampir dua bulan, namun sehingga hari ini, UMNO melalui barisan kepimpinannya masih gagal menjelaskan sikap terhadap penghinaan tersebut bahkan mendiamkan diri sambil menuding jari ke arah PAS yang didakwa menjadi kuda tunggangan kepada DAP.  

4. Jika kenyataan Chua ini masih belum cukup untuk membuktikan UMNO sebagai parti yang dayus, bagaimana pula dengan kenyataan Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim yang bertegas akan menghalang negara Islam daripada ditegakkan walau dengan apa cara sekalipun? Kenyataan ini dikeluarkan beliau dalam ucapan pembukaannya di konvensyen MCA Selangor pada 18 Ogos yang lepas.  

5. Kenapa Fatmi di dalam kenyataannya hanya menukilkan pendirian DAP yang menentang hudud dan di dalam masa yang sama tidak menyatakan pendirian UMNO? Saya ingin mempersoalkan di mana para ulama UMNO yang sibuk menghentam PAS kerana didakwa bersekongkol dengan kafir harbi? Jika demikian, apa pula hukum untuk UMNO yang turut sama menentang hudud dan negara Islam?  

Sekian.  

 

Salam hormat,

 

ABDUL LATIFF ABD RAHMAN

Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.  

 

Bertarikh : 24 Ogos 2012

 

Sokongan Pusat Terhadap Hudud : Alwi Hanya Bersandiwara

E-mail Print PDF

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyifatkan kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad yang menyebut bahawa Kerajaan Pusat menyokong pelaksanaan segera hudud di Kelantan sebagai satu sandirawa politik semata-mata. Ia hanya bertujuan meraih sokongan pengundi Melayu Islam yang merupakan golongan majoriti di Kelantan sedangkan pada hakikatnya hudud tetap terhalang dengan kewujudan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang mengecilkan bidang kuasa mahkamah syariah.

 

2. DPPNK ingin mempersoalkan hak Alwi untuk membuat kenyataan tersebut di atas kapasiti beliau yang hanya merupakan seorang Ketua Pembangkan di dalam DUN Kelantan sahaja dan tidak mempunyai apa-apa jawatan di dalam kerajaan di peringkat pusat. Sekiranya benar UMNO ikhlas untuk memberikan laluan terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan, DPPNK mencabar kenyataan Alwi ini diulangi dan disokong oleh pemimpin tertinggi UMNO di peringkat Pusat sendiri.

 

3. Kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin UMNO Kelantan kadang-kadang hanya bernada retorik sahaja. Ini jelas kelihatan dalam isu bayaran tunai atau royalti minyak yang habis-habisan dinafikan oleh pemimpin UMNO Kelantan, bahkan ada yang menyatakan bayaran royalti ini sudah dibayar melalui wang ehsan. Tidakkah mereka jelas berbohong apabila Perdana Menteri sendiri mengutuskan surat memaklumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Mengkaji bayaran tunai ini beberapa minggu lepas?

 

4. DPPNK ingin bertanya kepada Alwi bahawa adakah kenyataan beliau sudah mendapat restu Presiden UMNO? Sedarkah Alwi bahawa Datuk Seri Najib Razak sendiri selaku Presiden UMNO telah mengeluarkan kenyataan yang dilaporkan oleh akhbar The Star, 25 September 2011 yang lepas di bawah tajuk "Najib : No Hudud in M'sia"? Di dalam kenyataan tersebut, Najib dilaporkan membuat penegasan bahawa hukum hudud sama sekali tidak akan dilaksanakan di Malaysia. Siapakah yang bersandiwara di antara Alwi dan Najib? Atau kedua-duanya bersandiwara?

 

5. Perlu diingatkan bahawa surat yang dihantar oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap berkuatkuasa sehingga ke hari ini dan ia belum ditarik balik. DPPNK mencabar UMNO untuk mengeluarkan kenyataan bahawa surat halangan tersebut ditarik balik dan memberikan ruang seluas-luasnya kepada Kelantan untuk melaksanakan hudud. Ini termasuklah memberikan jaminan bahawa agensi-agensi seperti polis, penjara dan sebagainya yang berada di bawah kekuasaan kerajaan Pusat akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan Kelantan untuk menjayakan pelaksanaan ini.

 

6. Beranikah UMNO untuk menyahut cabaran ini?

 

Sekian.

 

Yang menjalankan tugas,

 

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,

Ketua Penerangan,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

 

Bertarikh : 25 Ogos 2012

Last Updated ( Sunday, 26 August 2012 11:56 )
 

Isu Judi; Pemuda PAS Sokong Dasar Kerajaan Kelantan

E-mail Print PDF
Kenyataan Akhbar Mengenai Isu Judi di Kelantan
Bertarikh 20/3/2011


Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan dengan ini menegaskan bahawa DPPNK berdiri teguh dan menyokong sepenuhnya dasar Kerajaan Negeri Kelantan berkaitan dengan isu Judi. Dasar yang telah dilaksanakan secara konsisten selama pemerintah PAS di Kelantan itu tenyata telah banyak membawa kebaikan, secara khususnya ke atas institusi keluarga. Malah jika dilihat dengan kacamata agama, tindakan tersebut dalah merupakan suatu kewajipan sebenarnya.

Justeru DPPNK menyeru kepada pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan dasar Kerajaan Kelantan ini agar mendapatkan penjelasan sebenar kenapa dasar ini diperkenal dan dilaksanakan. Manakala untuk lebih memperkemaskan perlaksanaan dasar ini, DPPNK menyokong penuh pendirian YAB Dato' Menteri Besar yang telah bersetuju untuk merujuk perkara ini kepada Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Kelantan demi memastikan bahawa perlaksanaan dasar ini dilaksanakan mengikut lunas-lunas undang-undang berkaitan seperti Akta Rumah Judi Terbuka dan lain-lain undang-undang kecil di samping tetap memelihara hak rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Selaras dengan itu juga, kami berharap agar usaha membenteras judi haram di negeri Kelantan diteruskan oleh pihak berkuasa yang berkaitan, demi meastikan kegiatan gejala sosial di negeri Kelantan dapat di kawal dan nama baik negeri Kelantan akan tetap di jaga.

Sekian, terima kasih

hishamfauzi
Hisham bin Fauzi
Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan
Ketua Pemuda PAS Tanah Merah
 

Isu Salam Bukan Mahram : DPPNK Minta Mufti dan Ulama Muda UMNO Nyatakan Pendirian

E-mail Print PDF
Dewan Pemuda Pas Kelantan (DPPNK) ingin memberikan ulasan berkaitan dengan kenyataan beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional yang mempertikaikan pendirian Normala Sudirman, calon PAS dalam pilihanraya kecil Dun Tenang, Johor yang enggan bersalaman dengan lelaki yang bukan mahram. Kenyataan-kenyataan tersebut adalah seperti berikut :

a. Kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek seperti yang dipetik oleh laman web berita Malaysiakini, "Dia tidak akan datang ke sini (tokong Cina), (dan) dia langsung tidak bersalam dengan orang. Dia seperti isteri Anwar Ibrahim. Dia memakai sarung tangan ketika bersalam. Jika anda boleh menerima cara Islam sebegini, pergilah undi PAS."

b. Kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan yang juga pemimpin Gerakan, Datuk Seri Tan Lian Hoe seperti yang dipetik oleh Malaysiakini, ""Ini perkara paling asas... Bukan hanya lelaki, tetapi bila dia (Normala) bersalam dengan wanita, dia juga pakai sarung tangan. Ini tidak mesra. Adakah dia fikir tangan kita kotor, saya harap pengundi Cina berhati-hati. Kita amat bimbang berhubung isu negara Islam. Mereka mahu mengamalkan negara Islam yang ekstrim."

DPPNK melihat kenyaataan kedua-dua parti komponen Barisan Nasional ini sebagai kenyataan yang tidak menghormati pegangan agama yang diamalkan oleh calon PAS. Perlu diingatkan, pendirian beliau untuk tidak bersalam dengan lelaki yang bukan mahram itu berdasarkan keyakinan agamanya dan bukan pendirian yang dibuat-buat. Justeru, DPPNK menganggap kenyataan kedua-dua pemimpin tersebut sebagai menandakan kejahilan mereka terhadap asas-asas Islam itu sendiri.

DPPNK menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tanda kegagalan UMNO yang tidak berjaya memberikan kefahaman Islam walaupun sudah bersama cukup lama dalam komponen Barisan Nasional. Inilah bezanya persefahaman UMNO dengan parti-parti dalam Barisan Nasional dibandingkan dengan persefahaman PAS dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Dalam hal ini, DPPNK mahu supaya para mufti dan juga ulama muda yang berada di dalam UMNO supaya menyatakan sikap dan pendirian terhadap kenyataan kedua-dua pemimpin ini. DPPNK kesal dengan sikap membisu ahli-ahli agama yang berada di dalam UMNO yang begitu cepat sebelum ini bersuara apabila berlakunya isu-isu yang melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat.

Dalam masa yang sama, DPPNK menyeru kepada umat Islam khususnya di Tenang, Johor agar dapat membuat penilaian yang jujur di dalam memilih pimpinan demi kepentingan agama Islam itu sendiri. Kegagalan UMNO memahamkan asas-asas Islam kepada parti-parti dalam komponen Barisan Nasional membuktikan mereka tidak layak untuk dinobatkan sebagai pembela agama Islam.

Sekian.

Yang benar,

YB Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK).
Bertarikh : 24 Januari 2011

 

DPPNK Pelawa Awang Selamat Bersemuka, Kesal Dengan Kenyataan Zulkifli Nordin

E-mail Print PDF
  1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) ingin memberikan respon terhadap tulisan Awang Selamat di dalam kolum khasnya di akhbar Mingguan Malaysia pada 19 Disember 2010 yang lepas. Awang Selamat di dalam tulisannya mengecam habis-habisan parti-parti pembangkang dan menyifatkan PAS menjadi pak turut kepada DAP dan PKR. Di dalam tulisannya itu, beliau juga turut menyebut nama al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat sebagai pemimpin yang menjadi Pak Turut kepada PKR dan DAP.
  2. DPPNK menyifatkan tulisan Awang Selamat tersebut sebagai tulisan yang penuh kebencian melampau terhadap Pakatan Rakyat dan sangat tidak beretika di samping mengenepikan terus budaya kewartawanan profesional yang sepatutnya dijunjung oleh seorang wartawan senior seperti Awang Selamat. Menyifatkan al-Mursyidul Am dengan tuduhan sedemikian rupa seolah-olah membuktikan bahawa Awang Selamat hanya ingin dirinya ditonjolkan sebagai wartawan yang terus sedia mengampu UMNO 'dulu, kini dan selamanya."
  3. DPPNK ingin mengingatkan Awang Selamat, al-Mursyidul Am PAS telah menjadi Menteri Besar Kelantan selama 20 tahun yang bersih tanpa rasuah dan penyelewengan berbeza dengan rata-rata pimpinan UMNO yang terlibat dengan pelbagai skandal dan tuduhan. Lupakah Awang Selamat bahawa ada bukan seorang bekas Menteri Besar daripada kalangan UMNO yang pernah dihadapkan ke mahkamah kerana rasuah? Bahkan Majlis Tertinggi UMNO sendiri pernah menghukum beberapa pimpinan UMNO kerana terlibat dengan politik wang dan sehingga hari ini masih bebas menjadi pimpinan.
  4. Kepimpinan al-Mursyidul Am PAS jauh lebih bersih dari pimpinan UMNO. Kekuatannya ialah kerana Islam yang menjadi pegangan. Justeru, menuduh beliau sebagai pak turut ialah satu tuduhan yang melampau. DPPNK mencabar Awang Selamat agar membuktikan di manakah prinsip Islam yang digadaikan PAS sewaktu bersama Pakatan Rakyat? DPPNK juga sangat berbesar hati untuk mempelawa Awang Selamat agar bersemuka di mana-mana pentas di atas tajuk ini. Jangan hanya pandai berselindung di sebalik nama samaran lantas melontarkan tuduhan-tuduhan keji dan tidak bertanggungjawab.
  5. Di samping itu, DPPNK juga ingin melahirkan rasa kesal terhadap tuduhan yang bernada serupa yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Nordin melalui tulisannya di dalam akhbar yang sama. Demikian juga kenyataan beliau yang mempertikaikan ucapan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh yang memberikan respon positif terhadap Islam dengan mengisytiharkan secara terbuka menerima prinsip Islam sebagai agama rasmi negara. Zulkfili Nordin yang menyifatkan kenyataan itu sebagai sandiwara perlu diingatkan bahawa mengikut rekod, tidak pernah DAP mengkhianati bangsa Melayu Islam sebagaimana yang dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional. Siapakah yang melantik Ketua Menteri Pulau Pinang daripada kaum Cina sedangkan kaum Melayu yang menjadi majoriti di dalam Dewan kalau bukan UMNO? Siapakah yang menafikan peruntukan perkapita untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) kalau bukan UMNO? Siapakah yang saban hari meindas dan menafikan peruntukan pembangunan untuk Kelantan yang majoritinya ialah orang Melayu kalau bukan UMNO?
  6. DPPNK mencabar Zulkifli Nordin untuk mendedahkan secara terperinci apa yang didakwa sebagai Perjanjian Syaitan di antara PKR dan DAP. Sekiranya beliau tidak dapat membuat pendedahan terhadap apa yang didakwanya wujud, terbuktilah bahawa beliau telah mengizinkan tangannya menjadi tangan syaitan kerana menulis perkara yang terang-terang membohongi rakyat.
  7. Jika Zulkifli Nordin menuduh DAP akan menipu rakyat, DPPNK ingin mengingatkan beliau dan pihak-pihak yang senada dengannya seperti Perkasa dan lain-lain bahawa pihak yang menipu rakyat ialah mereka yang memenangi pilihanraya di atas tiket parti lain lalu menukar haluan selepas pilihanraya. Ini terang-terang menipu pengundi dan rakyat. Dalam hal ini, pertubuhan seperti Perkasa juga seharusnya malu sekiranya individu seperti ini yang memimpin mereka. Sewajarnya setiap kenyataan orang bukan Islam yang dilihat positif terhadap Islam perlu disambut dengan respon yang baik. Apa yang menghairankan, selama orang-orang seperti Zulkifli Nordin dan Perkasa lah yang merupakan pihak yang kuat mendakwa DAP sebagai anti Islam, lalu apabila kenyataan sebegini dikeluarkan, mereka dakwa pula sebagai sandiwara. Lalu, adakah yang ikhlas hanyalah UMNO? Hebat sangatkah mereka sehingga mampu meneropong terus ke lubuk hati untuk memeriksa keikhlasan? Atau mereka mahu mendakwa sudah diberikan kelebihan ilmu kasyaf sebagaimana seorang ulama UMNO di Kelantan? Paling tidak, buktikan dengan rekod, bilakah DAP menikam umat Islam sebagaimana yang mereka tuduh.
  8. Perlu diingatkan, pada zaman Rasulullah SAW, jika dibandingkan dengan kaum musyrikin yang memusuhi Islam, kaum munafik yang menjadi duri dalam daging jauh lebih merbahaya.  Dalam hal ini, kopiah di kepala bukan membuktikan iman di hati jika lidah menuturkan kata-kata munafik. Apatah lagi jika  dibandingkan dengan orang-orang musyrik yang tidak memusuhi Islam, ternyata Rasulullah SAW menjalinkan persefahaman dengan mereka berbanding dengan orang-orang munafik yang sentiasa diminta untuk berwaspada.

 

Sekian.

fadhlishaari

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

Ketua Penerangan,

Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Bertarikh : 15 Muharram 1432 H / 21 Disember 2010 M

 

 

Warning: Illegal string offset 'active' in /home/dppklntn/public_html/v2/templates/ja_vauxite/html/pagination.php on line 129

Warning: Illegal string offset 'active' in /home/dppklntn/public_html/v2/templates/ja_vauxite/html/pagination.php on line 135

Warning: Illegal string offset 'active' in /home/dppklntn/public_html/v2/templates/ja_vauxite/html/pagination.php on line 129

Warning: Illegal string offset 'active' in /home/dppklntn/public_html/v2/templates/ja_vauxite/html/pagination.php on line 135

Warning: Illegal string offset 'active' in /home/dppklntn/public_html/v2/templates/ja_vauxite/html/pagination.php on line 129

Warning: Illegal string offset 'active' in /home/dppklntn/public_html/v2/templates/ja_vauxite/html/pagination.php on line 135

Warning: Illegal string offset 'active' in /home/dppklntn/public_html/v2/templates/ja_vauxite/html/pagination.php on line 129

Warning: Illegal string offset 'active' in /home/dppklntn/public_html/v2/templates/ja_vauxite/html/pagination.php on line 135

Warning: Illegal string offset 'active' in /home/dppklntn/public_html/v2/templates/ja_vauxite/html/pagination.php on line 129

Warning: Illegal string offset 'active' in /home/dppklntn/public_html/v2/templates/ja_vauxite/html/pagination.php on line 135
  • «
  •  Start 
  •  Prev 
  •  1 
  •  2 
  •  3 
  •  4 
  •  5 
  •  Next 
  •  End 
  • »
Page 1 of 5

DPP Kelantan

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

Tingkat 1, Bangunan PAS,
Jalan Dato Pati,
1500 Kota Bharu,
Kelantan

dppkelantan@pas.org.my