Welcome to the Frontpage
MTRK BERNAFAS DALAM DEBU
Hampir 10 tahun lepas atau lebih tepatnya 16 September 2003, Datuk Ibrahim Ali yang pada masa itu Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas menyambut ketibaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Jambatan Sultan Ismail Petra, Tendong Pasir Mas dengan slogan UMNO Bahagian Pasir Mas, Bernafas Dalam Debu. Saya mudah mengingati slogan ini kerana ia agak mirip dengan lagu Suci Dalam Debu yang pernah didendangkan oleh vokalis Salim dari kumpulan Iklim satu masa dulu. Masih saya ingat pada masa itu satu sepanduk gergasi bertulis, ‘Keranamu Ibrahim Ali…” melebihi besarnya sepanduk terhadap UMNO dan Presidennya sendiri memualkan bukan sahaja penyokong PAS malah ahli-ahli UMNO sendiri. Ironinya, selepas Ibrahim Ali bernafas dalam debu, beliau digugurkan dari jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi sejurus selepas mengambil teraju pemerintahan negara dari Tun Dr Mahathir. Ibrahim Ali ketika mengulas pemecatannya itu berkata, “Saya digantikan dengan orang yang lebih tua daripada saya, malah saya ‘disembelih’ dua hari sebelum raya. Apakah saya ni jahat sangat..” Saya kira jika saya masih ingat dengan jelas sejarah ini, tidak mungkin Ibrahim Ali lupa sejarahnya sendiri.
Hari ini, NGO tajaan Ibrahim Ali, Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) sekali lagi membuat kerja pelik. Jika dahulu menjelang pilihanraya umum 2004, Ibrahim Ali yang berusaha menonjolkan dirinya akhirnya terpelanting, adakah kali ini usaha MTRK untuk menonjolkan Ibrahim Ali sebagai hero akan berjaya? Bukan lagi rahsia, Ibrahim Ali sedang mengintai-intai ruang di Pasir Mas untuk meneruskan nafas politiknya yang semakin pendek.
Saya menulis begini kerana terbaca keratan akhbar Berita Harian hari ini 3 Februari 2013 halaman 12 yang melaporkan demontrasi yang diadakan oleh MTRK di Taman SBJ Baru, Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan. Menurut laporan ini, Presiden MTRK, Azmi Ali (hubungannya dengan Ibrahim Ali tidak perlu dijelaskan lagi) selepas berucap di demonstarasi itu mendakwa lebih sejuta hektar tanah di Kelantan berpindah milik kepada syarikat bukan Melayu.
Seperti biasa, dakwaan yang dilontarkan oleh UMNO dan NGO-NGO nya tidak pernah berpijak di alam nyata. Apabila Azmi Ali mendakwa bahawa lebih sejuta hektar tanah dipindah milik kepada syarikat bukan Melayu, ingin saya bertanya berapa luaskah tanah di Kelantan secara keseluruhannya?
Jawapannya, keluasan keseluruhan tanah di Kelantan ialah 1.4 JUTA HEKTAR. Ini terkandung di dalam jawapan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar kepada YB Tuan Mohd Yusmadi bin Mohd Yusoff [Balik Pulau] ketika menjawab soalan bukan lisan nombor 348 pada Januari-April 2011 di Dewan Rakyat. Untuk lebih jelas, MTRK boleh merujuk di laman web Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar atau jika tidak cukup masa untuk mengkaji kerana berdemonstrasi, lebih mudah terus ke pautan : http://www.nre.gov.my/parlimen/Lists/DispFormJawapanBL.aspx?ID=244
Jika keluasan tanah di Kelantan ialah 1.4 juta hektar, satu juta daripadanya telah dipindah milik kepada syarikat bukan Melayu, logikkah congakan Azmi ini? Saya kira beliau memang berminat dengan angka sejuta. Sebab itu beliau telah disaman oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berhubung satu rencana yang disiarkan oleh The Star pada 26 April 2012 antara lain menyiarkan tajuk “Murky waters over a million Kelantanese drink water that looks like this” (lebih SEJUTA rakyat Kelantan minum sepert ini [gambar air yang keruh]). Terkini, dua minggu lepas beliau gagal ntuk mendapatkan dokumen berkaitan perjalanan dan pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) setelah permohonannya ditolak Mahkamah Tinggi dan mahkamah mengarahkan kos prosiding dibayar sebanyak RM2,000.00.
Berhubung dakwaan sejuta hektar tanah dipindah milik kepada syarikat bukan Melayu, mari kita membuat kira-kira mudah. Keluasan jajahan Jeli ialah 133,000 hektar, keluasan jajahan Pasir Puteh ialah 43,380 hektar dan keluasan Kuala Krai 228,710 hektar. Jika dijumlahkan ketiga-tiga jajahan ini keluasannya ialah 405,090 hektar! Selain daripada tiga jajahan ini bermula Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Machang, Tanah Merah, Gua Musang dan Lojing semuanya sudah menjadi milik bukan Melayu! Sungguh-sungguh saya simpati dengan kenyataan Presiden MTRK ini kerana ia akan menjadi bahan ketawa yang tidak berkesudahan.
Jika dahulu Menteri Datuk Seri Rais Yatim mendakwa peserta himpunan BERSIH 3.0 hanya berjumlah 22,270 orang, minggu lepas pula ADUN UMNO di Kelantan, Datuk Nozula Mat Diah mendakwa 500 ribu rakyat Kelantan keluar mencari kerja di luar (keseluruhan rakyat Kelantan ialah 1.5 juta orang) maka hari ini ini Azmi pula membuat dakwaan seperti ini. Berasaskan ini, saya mempunyai syak yang kuat bahawa ilmu kira-kira merupakan ilmu yang sukar dikuasai oleh pemimpin UMNO dan NGO-NGO nya.
Sekian, terima kasih. Selamat bernafas di dalam debu.
-AHMAD FADHLI BIN SHAARI, 3 Februari 2013.

JELAJAH JANJI DIPERBAHARUI Lebih Sesuai Untuk Najib
Saya tertarik untuk mengulas berkenaan dengan janji-janji yang ditabur oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melakukan lawatan ke Kelantan semalam. Di dalam lawatan tersebut, beliau telah mengemukakan tujuh projek yang dijanjikan akan dilaksanakan sekiranya UMNO berjaya merampas Kelantan di dalam pilihanraya umum yang akan datang.
Saya berpandangan bahawa tindakan Najib menabur janji ini tidak lain hanyalah untuk memperbodohkan rakyat Kelantan yang pada pandangannya mudah diumpan dengan projek-projek seperti ini. Ingin saya ingatkan bahawa PAS sudah mentadbir Kelantan selama lebih dua dekad, dan sepanjang dua dekad inilah pelbagai janji telah ditabur daripada semenjak Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohammad sehinggalah sekarang. Namun, rakyat Kelantan tidak pernah termakan dengan umpan sebegini bahkan menunjukkan komitmen yang tinggi untuk terus mempertahankan kerajaan Kelantan di bawah dasar Membangun Bersama Islam.
Saya suka mencadangkan agar Najib menyemak terlebih dahulu janji-janji yang dikemukakan beliau sebelum ditabur. Ini kerana janji-janji tersebut memperlihatkan kedangkalan beliau yang tidak sepatutnya dipertonton selaku seorang Perdana Menteri. Janji Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai misalnya, sudah termaktub di dalam Rancangan Malaysia Keenam dan sehingga sekarang janji tersebut sudah berusia 26 tahun! Apakah jaminannya Perdana Menteri akan melaksanakan janji yang baru ini sekiranya janji yang sedia ada pun belum ditunaikan?
Seterusnya, saya menyambut baik janji Najib untuk membina stadium yang baru, namun saya ingin ingatkan bahawa rekod kerajaan UMNO di Terengganu yang membina stadium tidak seindah yang diidamkan. Di Terengganu, stadium yang dibina tidak sampai setahun sudah runtuh menyembah bumi.
Justeru, saya mengira rakyat Kelantan dapat menilai janji-janji Perdana Menteri yang ditaburkan semalam yang hakikatnya hanyalah merupakan gula-gula pilihanraya. Janji-janji UMNO sebelum ini pun masih banyak belum tertunai seperi projek pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua yang sehingga ke hari ini masih belum disiapkan walaupun telah dilanjutkan masa berkali-kali. Begitu juga dengan janji UMNO di Manek Urai untuk membina jambatan, namun sehingga sekarang jambatan tersebut masih gagal disiapkan. Ini semua ialah 'hutang janji' UMNO dengan rakyat yang perlu ditunaikan.
Paling utama ialah, perjanjian royalti minyak yang lengkap bertandatangan dan didokumenkan di parlimen di zaman Almarhum Tun Razak gagal dipatuhi oleh anaknya Najib. Jika hasrat hasrat almarhum bapanya sendiri pun gagal dipenuhi, sudah tentu hasrat rakyat lebih mudah untuk diderhakai.
Sepatutnya jika benar Najib ikhlas untuk membangunkan negeri Kelantan, tidak perlu untuk menunggu UMNO berkuasa. Sekarang pun projek-projek tersebut boleh dilaksanakan kerana kerajaan negeri tidak pernah menghalang. Bahkan saya mencabar agar Najib melancarkan projek-projek yang dijanjikan itu sebelum pilihanraya bagi membuktikan komitmen beliau.
Kesimpulannya, jelajah Najib Tun Razak kelmarin tidak tepat untuk dinamakan Jelajah Janji Ditepati, ia lebih sesuai dinamakan JELAJAH JANJI DIPERBAHARUI.
Salam hormat.
ABDUL LATIFF BIN ABDUL RAHMAN,
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.
Bertarikh : 21 Januari 2013
Isu Bawani : Pemuda PAS Kelantan Simpati Nasib Sharifah
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) merakamkan simpati terhadap nasib yang menimpa Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin, Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) yang mencetuskan kontroversi apabila bertindak keterlaluan ke atas seorang mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani di dalam satu majlis forum yang diadakan di universiti tersebut baru-baru ini. Ini kerana, pemimpin UMNO/Barisan Nasional kelihatan memisahkan diri dari tindakan Sharifah dan mula menafikan kaitan dengannya ekorannya tindakannya yang dilihat akan menjauhkan golongan mahasiswa daripada UMNO/Barisan Nasional.
Di antara pemimpin yang dlilihat memberikan kenyataan tidak menyebelahi Sharifah dalam isu ini ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Shaifudin Abdullah, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dan Timbalan Ketua Pemuda MIC V.Mugilan. Setakat ini tidak kelihatan mana-mana pemimpin UMNO/Barisan Nasional yang menyebelahi Sharifah. Ditambah lagi dengan kebangkitan warga maya yang mengutuk habis-habisan tindakan Sharifah membuktikan lagi bagaimana tindakan beliau di dalam forum tersebut tidak dapat diterima oleh akal yang sihat.
Dalam hal ini, DPPNK ingin menasihatkan kepada Sharifah dan semua pihak yang menjadi talibarut UMNO/Barisan Nasional, mereka akan dilemparkan ke tepi apabila dilihat menjadi beban sekalipun mereka bertungkus lumus selama ini untuk bekerja memastikan kemenangan. Inilah nasib yang sedang menimpa Sharifah.
Justeru, DPPNK menuntut agar Sharifah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada KS Bawani dan menjadikan peristiwa ini sebagai iktibar untuk masa hadapan. Untuk KS Bawani, DPPNK merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas di atas keberanian untuk berdiri menyatakan kebenaran.
Terima kasih.
Yang menjalankan tugas,
MOHD HAFIZ BIN MUSA,
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)
Bertarikh : 16 Januari 2013





