Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

Memimpin Kebangkitan Anak Muda

Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel
  • image
  • image

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

JELAJAH JANJI DIPERBAHARUI Lebih Sesuai Untuk Najib

7 janji

Saya tertarik untuk mengulas berkenaan dengan janji-janji yang ditabur oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melakukan lawatan ke Kelantan semalam. Di dalam lawatan tersebut, beliau telah mengemukakan tujuh projek yang dijanjikan akan dilaksanakan sekiranya UMNO berjaya merampas Kelantan di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

 

Saya berpandangan bahawa tindakan Najib menabur janji ini tidak lain hanyalah untuk memperbodohkan rakyat Kelantan yang pada pandangannya mudah diumpan dengan projek-projek seperti ini. Ingin saya ingatkan bahawa PAS sudah mentadbir Kelantan selama lebih dua dekad, dan sepanjang dua dekad inilah pelbagai janji telah ditabur daripada semenjak Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohammad sehinggalah sekarang. Namun, rakyat Kelantan tidak pernah termakan dengan umpan sebegini bahkan menunjukkan komitmen yang tinggi untuk terus mempertahankan kerajaan Kelantan di bawah dasar Membangun Bersama Islam.

 

Saya suka mencadangkan agar Najib menyemak terlebih dahulu janji-janji yang dikemukakan beliau sebelum ditabur. Ini kerana janji-janji tersebut memperlihatkan kedangkalan beliau yang tidak sepatutnya dipertonton selaku seorang Perdana Menteri. Janji Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai misalnya, sudah termaktub di dalam Rancangan Malaysia Keenam dan sehingga sekarang janji tersebut sudah berusia 26 tahun! Apakah jaminannya Perdana Menteri akan melaksanakan janji yang baru ini sekiranya janji yang sedia ada pun belum ditunaikan?

 

Seterusnya, saya menyambut baik janji Najib untuk membina stadium yang baru, namun saya ingin ingatkan bahawa rekod kerajaan UMNO di Terengganu yang membina stadium tidak seindah yang diidamkan. Di Terengganu, stadium yang dibina tidak sampai setahun sudah runtuh menyembah bumi.

 

Justeru, saya mengira rakyat Kelantan dapat menilai janji-janji Perdana Menteri yang ditaburkan semalam yang hakikatnya hanyalah merupakan gula-gula pilihanraya. Janji-janji UMNO sebelum ini pun masih banyak belum tertunai seperi projek pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua yang sehingga ke hari ini masih belum disiapkan walaupun telah dilanjutkan masa berkali-kali. Begitu juga dengan janji UMNO di Manek Urai untuk membina jambatan, namun sehingga sekarang jambatan tersebut masih gagal disiapkan. Ini semua ialah 'hutang janji' UMNO dengan rakyat yang perlu ditunaikan.

 

Paling utama ialah, perjanjian royalti minyak yang lengkap bertandatangan dan didokumenkan di parlimen di zaman Almarhum Tun Razak gagal dipatuhi oleh anaknya Najib. Jika hasrat hasrat almarhum bapanya sendiri pun gagal dipenuhi, sudah tentu hasrat rakyat lebih mudah untuk diderhakai.

 

Sepatutnya jika benar Najib ikhlas untuk membangunkan negeri Kelantan, tidak perlu untuk menunggu UMNO berkuasa. Sekarang pun projek-projek tersebut boleh dilaksanakan kerana kerajaan negeri tidak pernah menghalang. Bahkan saya mencabar agar Najib melancarkan projek-projek yang dijanjikan itu sebelum pilihanraya bagi membuktikan komitmen beliau.

 

Kesimpulannya, jelajah Najib Tun Razak kelmarin tidak tepat untuk dinamakan Jelajah Janji Ditepati, ia lebih sesuai dinamakan JELAJAH JANJI DIPERBAHARUI.

 

Salam hormat.

 

ABDUL LATIFF BIN ABDUL RAHMAN,

Ketua,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

 

Bertarikh : 21 Januari 2013

You are here: Home Berita JELAJAH JANJI DIPERBAHARUI Lebih Sesuai Untuk Najib