Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

Memimpin Kebangkitan Anak Muda

Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel
  • image
  • image

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

MTRK BERNAFAS DALAM DEBU

Hampir 10 tahun lepas atau lebih tepatnya 16 September 2003, Datuk Ibrahim Ali yang pada masa itu Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas menyambut ketibaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Jambatan Sultan Ismail Petra, Tendong Pasir Mas dengan slogan UMNO Bahagian Pasir Mas, Bernafas Dalam Debu. Saya mudah mengingati slogan ini kerana ia agak mirip dengan lagu Suci Dalam Debu yang pernah didendangkan oleh vokalis Salim dari kumpulan Iklim satu masa dulu. Masih saya ingat pada masa itu satu sepanduk gergasi bertulis, ‘Keranamu Ibrahim Ali…” melebihi besarnya sepanduk terhadap UMNO dan Presidennya sendiri memualkan bukan sahaja penyokong PAS malah ahli-ahli UMNO sendiri. Ironinya, selepas Ibrahim Ali bernafas dalam debu, beliau digugurkan dari jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi sejurus selepas mengambil teraju pemerintahan negara dari Tun Dr Mahathir. Ibrahim Ali ketika mengulas pemecatannya itu berkata, “Saya digantikan dengan orang yang lebih tua daripada saya, malah saya ‘disembelih’ dua hari sebelum raya. Apakah saya ni jahat sangat..” Saya kira jika saya masih ingat dengan jelas sejarah ini, tidak mungkin Ibrahim Ali lupa sejarahnya sendiri.

Hari ini, NGO tajaan Ibrahim Ali, Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) sekali lagi membuat kerja pelik. Jika dahulu menjelang pilihanraya umum 2004, Ibrahim Ali yang berusaha menonjolkan dirinya akhirnya terpelanting, adakah kali ini usaha MTRK untuk menonjolkan Ibrahim Ali sebagai hero akan berjaya? Bukan lagi rahsia, Ibrahim Ali sedang mengintai-intai ruang di Pasir Mas untuk meneruskan nafas politiknya yang semakin pendek.

Saya menulis begini kerana terbaca keratan akhbar Berita Harian hari ini 3 Februari 2013 halaman 12 yang melaporkan demontrasi yang diadakan oleh MTRK di Taman SBJ Baru, Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan. Menurut laporan ini, Presiden MTRK, Azmi Ali (hubungannya dengan Ibrahim Ali tidak perlu dijelaskan lagi) selepas berucap di demonstarasi itu mendakwa lebih sejuta hektar tanah di Kelantan berpindah milik kepada syarikat bukan Melayu.

Seperti biasa, dakwaan yang dilontarkan oleh UMNO dan NGO-NGO nya tidak pernah berpijak di alam nyata. Apabila Azmi Ali mendakwa bahawa lebih sejuta hektar tanah dipindah milik kepada syarikat bukan Melayu, ingin saya bertanya berapa luaskah tanah di Kelantan secara keseluruhannya?

Jawapannya, keluasan keseluruhan tanah di Kelantan ialah 1.4 JUTA HEKTAR. Ini terkandung di dalam jawapan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar kepada YB Tuan Mohd Yusmadi bin Mohd Yusoff [Balik Pulau] ketika menjawab soalan bukan lisan nombor 348 pada Januari-April 2011 di Dewan Rakyat. Untuk lebih jelas, MTRK boleh merujuk di laman web Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar atau jika tidak cukup masa untuk mengkaji kerana berdemonstrasi, lebih mudah terus ke pautan : http://www.nre.gov.my/parlimen/Lists/DispFormJawapanBL.aspx?ID=244

Jika keluasan tanah di Kelantan ialah 1.4 juta hektar, satu juta daripadanya telah dipindah milik kepada syarikat bukan Melayu, logikkah congakan Azmi ini? Saya kira beliau memang berminat dengan angka sejuta. Sebab itu beliau telah disaman oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berhubung satu rencana yang disiarkan oleh The Star pada 26 April 2012 antara lain menyiarkan tajuk “Murky waters over a million Kelantanese drink water that looks like this” (lebih SEJUTA rakyat Kelantan minum sepert ini [gambar air yang keruh]). Terkini, dua minggu lepas beliau gagal ntuk mendapatkan dokumen berkaitan perjalanan dan pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) setelah permohonannya ditolak Mahkamah Tinggi dan mahkamah mengarahkan kos prosiding dibayar sebanyak RM2,000.00.

Berhubung dakwaan sejuta hektar tanah dipindah milik kepada syarikat bukan Melayu, mari kita membuat kira-kira mudah. Keluasan jajahan Jeli ialah 133,000 hektar, keluasan jajahan Pasir Puteh ialah 43,380 hektar dan keluasan Kuala Krai 228,710 hektar. Jika dijumlahkan ketiga-tiga jajahan ini keluasannya ialah 405,090 hektar! Selain daripada tiga jajahan ini bermula Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Machang, Tanah Merah, Gua Musang dan Lojing semuanya sudah menjadi milik bukan Melayu! Sungguh-sungguh saya simpati dengan kenyataan Presiden MTRK ini kerana ia akan menjadi bahan ketawa yang tidak berkesudahan.

Jika dahulu Menteri Datuk Seri Rais Yatim mendakwa peserta himpunan BERSIH 3.0 hanya berjumlah 22,270 orang, minggu lepas pula ADUN UMNO di Kelantan, Datuk Nozula Mat Diah mendakwa 500 ribu rakyat Kelantan keluar mencari kerja di luar (keseluruhan rakyat Kelantan ialah 1.5 juta orang) maka hari ini ini Azmi pula membuat dakwaan seperti ini. Berasaskan ini, saya mempunyai syak yang kuat bahawa ilmu kira-kira merupakan ilmu yang sukar dikuasai oleh pemimpin UMNO dan NGO-NGO nya.

Sekian, terima kasih. Selamat bernafas di dalam debu.

-AHMAD FADHLI BIN SHAARI, 3 Februari 2013.

You are here: Home Berita MTRK BERNAFAS DALAM DEBU